Siri 2 – Berpantang Secara Tradisional : Perbandingan Antara Kaum di Malaysia

Zuoyuezi – Tradisi Berpantang Wanita Cina

Istilah “zuoyuezi” merujuk kepada adat Cina tradisional yang memerlukan ibu-ibu baru bersalin untuk berehat selama sebulan di rumah. Secara tradisinya, ibu baru bersalin biasanya berada di bawah jagaan ibu mertua, selama sebulan.

Kini, terdapat banyak perkhidmatan penjagaan wanita berpantang secara tradisional yang ditawarkan. Semuanya tentang rehat, rehat, dan rehat yang secukupnya untuk ibu baru bersalin.

Masyarakat Cina percaya bahawa jika amalan berpantang tidak dilakukan dengan cara yang betul, rahim ibu yang baru bersalin tidak akan mengecut dan ini akan menyebabkan “rahim kendur” atau prolapse rahim. Satu lagi prinsip utama berpantang adalah untuk mencegah “angin” daripada memasuki badan.

Angin dianggap unsur yang tidak baik dan ia dikatakan menjadi punca masalah sendi yang berlaku apabila ibu semakin meningkat umurnya. Salah satu amalan untuk mengelakkan angin daripada memasuki badan adalah dengan tidak membenarkan ibu yang baru bersalin untuk mandi. Tiada alasan untuk membasuh rambut, tidak kira berapa berpeluh atau tidak selesanya anda rasa, jawapannya adalah tidak!

Pemakanan ketika Berpantang

Dalam tempoh ini ibu sepatutnya makan makanan dan herba tertentu yang akan mempercepatkan pemulihan daripada kerahan tenaga sewaktu melahirkan anak. Jelas sekali, ini bukan masa untuk mengidam hidangan lazat! Bergantung kepada siapa yang menjaga ibu yang baru bersalin, dan apa kaedahnya, ibu-ibu mungkin perlu sabar menikmati sup ayam herba yang sama sepanjang tempoh berpantang!

Kebanyakan cara masakan orang Cina bertujuan untuk memanaskan badan, memperbaiki peredaran darah, “membuang” toksin dari darah dan menggalakkan pengecutan rahim. Ibu-ibu digalakkan untuk makan hidangan yang kecil tetapi kerap untuk mengelakkan kelaparan supaya ‘angin’ tidak masuk ketubuh.

Makan dengan kerap juga membantu memastikan bekalan susu ibu untuk bayi. Makanan digalakkan adalah yang boleh memanaskan badan seperti halia tua, minyak bijan, lada hitam, wain dan cuka hitam yang digunakan secara meluas dalam hampir setiap hidangan dalam pantang.

Makanan biasanya dikukus atau digoreng dengan penggunaan minyak yang sedikit. Bahan-bahan yang diguna biasanya dipilih dengan berhati-hati, dengan penekanan pada makanan segar, semula jadi, dan organik.

Makanan menyejukkan dielakkan seperti buah-buahan tembikai, nenas, betik dan sayur-sayuran seperti kangkong, timun, kubis dan tauge. Sup herba dan tonik adalah minuman utama kerana ia menyuburkan dan meyegarkan badan. Herba cina seperti ginseng dan ‘dong quai’ merupakan herba penting untuk membantu badan sembuh.

Air sejuk tidak dibenarkan langsung kerana ia akan menyebabkan sembab. Cuma minuman memanaskan seperti teh halia dibenarkan. Wain seperti DOM dan wain halia amat penting walaupun terdapat perdebatan bahawa ibu-ibu yang menyusu badan tidak harus minum wain kerana kesan sampingan keatas susu ibu.

Pantang-larang ketika Berpantang

Ibu-ibu yang baru melahirkan tidak dibenarkan untuk mandi dan mencuci rambut semasa tempoh berpantang 30 hingga 40 hari. Kepercayaan orang cina air adalah sejuk dan boleh menyebabkan “angin” masuk ke dalam badan, dan akan menyebabkan sakit badan, otot dan sendi yang teruk apabila umur makin meningkat.

Jika ibu-ibu yang baru melahirkan bertegas untuk mandi atau membasuh rambut, mereka dibenarkan mandi dengan air rebusan herba yang dibuat khas dari bahan-bahan yang boleh memanaskan badan. Mandi perlu dengan air panas dan hanya pada waktu siang saja. Sebaik sahaja keluar dari bilik mandi, mesti minum wain (DOM atau wain halia) untuk memanaskan badan dan mengelakkan ‘angin’ daripada memasuki tubuh.

Untuk mengelak tubuh dimasuki “angin”, ibu-ibu juga tidak dibenarkan keluar rumah, tidur dibawah kipas dan dalam hawa dingin.

Sepanjang berpantang ibu-ibu dibalut dengan lapisan pakaian tebal dan sarung kaki supaya tidak mendedahkan badan dimasuki “angin”.

Ibu-ibu dilarang daripada melakukan kerja-kerja rumah, mengangkat barangan berat, kerana ini boleh menyebabkan kekenduran rahim (prolaps).

Ibu-ibu tidak dibenarkan terlalu banyak membaca, menonton TV dan menangis tidak dibenarkan langsung. Jika tidak, penglihatan mata akan lemah dengan ketara.

Hubungan seks dengan suami juga dilarang selama 100 hari selepas bersalin.