Siri 1 – Berpantang Secara Tradisional : Perbandingan Antara Kaum di Malaysia

Tidak seperti lebih sedekad yang lalu, dapat kita perhatikan bahawa tradisi semakin kurang diamalkan di kalangan kaum di Malaysia dan dalam kebanyakan kes, amalan tradisional lebih cenderung diubah suai untuk disesuaikan dengan cita rasa moden.


Walau bagaimanapun, apabila berkait dengan penjagaan selepas bersalin atau ‘berpantang’, tradisi masih lagi kuat berakar dikalangan ibu-ibu di Malaysia. Ya, inilah masanya pakar-pakar berpantang tradisional yang pandai dan berpengetahuan akan dicari!

Sebagai ibu yang baru melahirkan, anda perlulah banyak berehat dan menitik beratkan kesihatan dalaman agar pulih sepenuhnya dari stress (cth: tenaga yang dikerah dengan hebatnya, urat saraf banyak yang cedera) ketika melalui proses bersalin dan juga untuk mendapatkan kembali tenaga yang hilang supaya boleh menyusukan dan menjaga bayi comel anda.

Amalan berpantang di Malaysia sememangnya menarik dan pelbagai. Amalan dan kepercayaan inilah yang memainkan peranan penting untuk membolehkan para ibu baru bersalin kembali berdikari, berasa lebih segar, bertenaga dan bersedia untuk memikul tanggungjawab baru sebagai seorang ibu.

Jom kita lihat perbandingan amalan berpantang antara tiga kaum utama di Malaysia. Perbandingan ini dibuat penulis berdasarkan informasi yang diperolehi dari artikel-artikel online, ia mungkin masih relevan dengan amalan semasa dan mungkin juga tidak. Ia sekadar perkongsian bermanfaat agar kita memahami budaya berbilang kaum di Malaysia. Sungguh unik!

 

 

Amalan Berpantang Masyarakat Melayu

Ibu baru bersalin dalam masyarakat Melayu tradisional akan melalui tempoh berpantang selama 44 hari. Proses berpantang ini meliputi amalan-amalan dan pantang-larang yang bermacam-macam. 

Sekalipun sukar untuk diikuti, ibu-ibu baru mestilah tekad, sabar dan tekun mematuhi dan menjalani proses berpantang untuk mendapatkan semula bentuk badan seperti sebelum hamil, mengembalikan tenaga dan seri seorang isteri dan ibu.

Secara tradisinya, seorang ibu dalam pantang biasanya dibantu oleh sama ada oleh bidan tradisional, ibu sendiri atau ibu mertua. Tidak dinafikan, tempoh 44 hari berpantang boleh menjadi agak sukar tanpa seseorang untuk membantu sepanjang masa, terutamanya bagi ibu-ibu yang baru pertama kali melahirkan anak.

Amalan-amalan berpantang masyarakat Melayu berasaskan kepercayaan bahawa rahim adalah organ utama wanita dan penjagaannya mempengaruhi kesihatan tubuh badan seorang wanita secara keseluruhan. Oleh itu jika seorang wanita ingin kekal berseri dan menarik, dia mestilah menjaga kesihatan rahimnya.

Antara amalan utama wanita Melayu semasa berpantang ialah:

o Pengambilan Jamu – merupakan makanan tambahan tradisional dan dianggap amalan yang penting dalam proses berpantang. Dipercayai bahawa pengambilan jamu akan membantu ibu-ibu baru bersalin mendapatkan semula tenaga yang hilang akibat proses melahirkan anak. Jamu yang dimakan selepas bersalin biasanya berfungsi untuk membuang lemak berlebihan dan toksin, mengawal pundi kencing dan usus, meningkatkan tenaga dan memanaskan badan. Jamu juga membantu mengecutkan otot-otot rahim dan memulihkan urat-urat yang bengkak dan cedera, menghilangkan angin, mengeluarkan cecair yang berlebihan dan melangsingkan badan.

o Bengkung – Dianggap amalan asas dalam tradisi berpantang wanita Melayu. Secara idealnya, bengkung haruslah dipakai sepanjang hari dan malam. Ia biasanya dipakai bersama-sama ramuan daun ubatan seperti lengkuas atau pandan; minyak tradisional ubat, herba dan rempah-ratus atau krim bengkung yang dijual di kedai-kedai kesihatan tradisional. Apabila dipakai dengan betul, bengkung dikatakan dapat mengempiskan perut, mengecutkan rahim, menggalakkan postur badan yang baik dan sudah tentu mengelakkan ibu makan berlebihan.

o Urutan Selepas Bersalin – Dipercayai berkesan dalam ‘mengangkat’ rahim dan mencegah kendur, memecahkan lemak, memperbaiki peredaran darah seluruh badan. Urutan tradisional selepas bersalin juga meliputi urutan payudara untuk membantu merangsang pengeluaran susu ibu. Secara tradisi, ibu baru bersalin dinasihatkan supaya menjalani urutan tradisional ini selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, dan lebih elok jika boleh diteruskan untuk tempoh yang lebih lama lagi (cth: tujuh hari).

o Bertungku – Batu tungku (cth: batu sungai yang berbentuk bulat dan leper) dipanaskan, disediakan dengan daun pandan dan daun-daun herba, dibungkus dengan kain dan digunakan. Bertungku dipercayai membantu proses pengecutan rahim, memecahkan lemak dan membantu ibu-ibu medapatkan kembali bentuk badan asal seperti sebelum mengandung.

 

Pemakanan Ketika Berpantang

Ibu baru bersalin digalakkan mengambil herba-herba, akar kayu dan rempah secara oral ataupun digunakan dalam mandian. Ulam-ulaman seperti kunyit, pegaga dan halia amat disyorkan sebagai ulam atau jus kerana ia berkhasiat dan dipercayai berkesan dalam mengecutkan rahim dan memulihkan kesihatan dalaman. Dari sudut pemakanan, ibu-ibu dinasihatkan supaya menahan diri daripada:

Makan makanan berminyak (cth: Ikan yang digoreng);

Minum ais atau air terlalu banyak kerana dipercayai air yang berlebihan akan membuat perut yang bengkak dan sukar untuk “mengecut”;

Memakan ikan berbisa – boleh menyebabkan turun darah dan bentan (cth: ikan kembung, ikan tongkol, ikan sembilang dan sebagainya);

Mengambil sayur-sayuran  menjalar, sejuk serta berangin – boleh menyebabkan ibu-ibu kembung dan sakit-sakit badan (cth: bayam, terung, pucuk paku, kubis dan sebagainya);

Buah-buahan bersifat sejuk – kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi (cth: tembikai, nangka, langsat, nanas dan sebagainya).