Siri 1 Anemia: Punca dan Gejala Semasa Hamil

Sebelum hamil, anda mungkin tertanya-tanya Hb tu ape yer? Ia merupakan bacaan hemoglobin untuk menentukan ibu tak mengalami anemia/ kurang darah. Bacaan yang normal bagi ibu mengandung ialah pada julat: 11-12 g/dl (gram per deciliter).

Apabila hamil, anda mungkin mengalami anemia. Anemia menyebabkan darah anda tidak mempunyai sel-sel darah merah yang cukup untuk membawa oksigen ke tisu-tisu badan dan bayi anda.

Semasa kehamilan, badan menghasilkan lebih banyak darah untuk menyokong pertumbuhan bayi. Jika anda tidak mendapat cukup zat besi atau nutrien tertentu, badan mungkin tidak dapat menghasilkan jumlah sel-sel darah merah yang diperlukan untuk menghasilkan darah tambahan ini.

Anemia ringan adalah perkara biasa ketika hamil. Tetapi anda mungkin mengalami anemia lebih teruk daripada kerana kekurangan zat besi atau vitamin yang diperlukan badan ketika hamil.

Anemia boleh mengakibatkan anda merasa letih dan lemah. Jika ia tidak dirawat, ia boleh meningkatkan risiko komplikasi yang serius kepada anda dan bayi. Jom, kita lihat sebab-sebab, gejala dan rawatan anemia semasa mengandung.

Jenis-jenis Anemia Semasa Mengandung

Beberapa jenis anemia boleh terjadi semasa mengandung. Ini termasuklah:

• anemia akibat kekurangan zat besi

• anemia akibat kekurangan folat (asid folik)

• anemia akibat kekurangan Vitamin B12

Bagaimana anemia terjadi?

Anemia akibat kekurangan zat besi – Ia terjadi apabila badan tidak mempunyai cukup zat besi untuk menghasilkan hemoglobin yang diperlukan untuk mengangkut oksigen dalam sel-sel darah merah, dari paru-paru ke seluruh badan. Kekurangan zat besi adalah punca yang paling biasa anemia semasa kehamilan.

Anemia akibat kekurangan asid folik – Folat, juga dikenali sebagai asid folik, adalah sejenis vitamin B. Badan memerlukan folat untuk menghasilkan sel-sel baru, termasuk sel darah merah. Ketika mengandung, wanita perlukan folat tambahan. Tetapi kadang-kala mereka tidak mendapat folat yang cukup dari diet mereka. Apabila ini berlaku, tubuh tidak boleh membuat sel-sel darah merah normal yang cukup untuk mengangkut oksigen ke tisu-tisu di seluruh badan. Kekurangan folat boleh menyumbang kepada beberapa jenis kecacatan kelahiran, seperti kecacatan tiub neural (spina bifida) dan berat kelahiran yang rendah. 

Anemia akibat kekurangan vitamin B12 – Badan memerlukan vitamin B12 untuk membentuk sel darah merah. Apabila seorang wanita mengandung tidak mendapat cukup vitamin B12 daripada pemakanan, badan tidak boleh menghasilkan sel darah merah yang mencukupi.  Wanita yang tidak makan daging, ayam, produk tenusu, telur dan mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami kekurangan vitamin B12, yang boleh menyumbang kepada kecacatan kelahiran, seperti keabnormalan tiub neural, dan boleh membawa kepada kelahiran pramatang.

Gejala Anemia Semasa Mengandung

Gejala-gejala yang paling biasa anemia semasa mengandung ialah kulit, bibir dan kuku yang pucat, mudah rasa penat atau lemah, kerap pening, sesak nafas, degupan jantung laju, masalah tumpuan (tak boleh focus). Tapi bukan semua symptom yang dinyatakan di atas disebabkan anemia, anda mungkin mengalami symptom ini kerana “morning sickness”, jadi pastikan anda mendapat pemeriksaan lanjut untuk kepastian.

Ujian untuk Anemia

Semasa pemeriksaan pranatal pertama anda, ujian darah akan dijalankan meliputi:

• Ujian Hemoglobin. Ia mengukur jumlah hemoglobin – protein yang kaya dengan zat besi dalam sel-sel darah merah yang membawa oksigen dari paru-paru ke tisu-tisu di dalam badan. Jumlah hemoglobin normal dalam darah adalah pada julat: 11-12 g/dl (gram per deciliter)

• Ujian Hematokrit. Ia mengukur peratus sel darah merah dalam sampel darah.

Penting untuk memastikan anda bebas dari masalah anemia ketika hamil agar tidak tejadi sebarang risiko yang tidak diingini kepada bayi. Dalam artikel berikutnya, Kak Danita akan kongsikan pula rawatan untuk anemia.