MEROYAN selepas melahirkan.

Pernah dengar MEROYAN? Mesti pernah kan… terutamanya bagi ibu ibu yang baru saja melahirkan anak. Apa itu meroyan yang sebenarnya?

Meroyan atau kemurungan posnatum ialah satu masalah yang biasa. Dahulu, pendapat umum ialah bahawa satu dalam 10 orang ibu menghidapnya. Pendapat sekarang ialah seorang dalam empat ibu menghidap penyakit ini. Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau selepas berpantang. Pada tahap ini, seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.

Jangan kita anggap meroyan ini adalah satu tekanan dan akan hilang seperti murung bayi. Murung bayi adalah perasaan tertekan pada hari hari awal selepas melahirkan dan biasanya akan hilang selepas mendapat bantuan yang sesuai dari meerka di sekeliling. Meroyan adalah satu penyakit serius dan ianya memerlukan rawatan yang betul.

Untuk mereka yang tidak pasti bagaimana mengenalpasti tanda tanda meroyan, boleh melihat tanda-tanda dan simptom  seperti berikut :

–  putus asa

–  bersalah

–  amat letih

–  muram

–  mudah menangis

–  sunyi

–  gelisah tidak menentu

–  terperangkap

Normalnya, hampir semua ibu merasakan satu atau lebih perasaan ini pada masa tertentu tetapi sekiranya anda merasa sungguh tidak berdaya dan perasaan seperti diatas tidak reda dan berpanjangan, anda mungkin menghidapi meroyan atau kemurungan postnatum.
Lazimnya, ia berlaku apabila umur bayi anda antara empat hingga enam minggu, tetapi ada kalanya ia bermula beberapa bulan selepas dia dilahirkan. Sebelum itu anda merasa amat gembira menjaga bayi anda, kemudian, menyedari kemurungan datang secara perlahan. Jika anda mengalami kemurungan semasa kehamilan, ketibaan bayi anda mungkin tidak dapat membantu meringankan beban anda.

ANTARA KEADAAN-KEADAAN YANG TERLALU SUKAR YANG BOLEH MENJADI PENCETUSNYA MEROYAN ADALAH :

– kemurungan atau masalah sakit mental sejak dahulu atau kemurungan semasa kehamilan

– suami yang kurang atau tidak menyokong atau tidak mempunyai keluarga atau rakan-rakan dan kesunyian yang keterlaluan

– masalah kewangan yang kritikal, perumahan, masalah kerja atau masalah dalam perhubungan

– proses kelahiran yang terlalu rumit dan masalah kesihatan yang menyusul selepas itu

– mendapat bayi yang dilahirkan pramatang atau mengalami penyakit atau tidak sihat

– kesukaran untuk menyusu badan dan tekanan dari sekeliling akibat kesukaran ini

– ingatan-ingatan sedih yang kembali menghantui seperti kematian orang tersayang atau imbasan trauma.

 

Memahami pencetus meroyan mungkin boleh membantu anda menolong diri anda atau isteri anda dari meroyan. Dapatkan bantuan seawal mungkin apabila simptom-simptom seperti diatas ketara. Semoga kita semua tidak terkena meroyan ini. Insyallah ..