Kenapa Perut Asyik Lapar Ketika Hamil? No. 3 Tu Buat Anda Tak Rasa Bersalah Sangat Nak Makan Lebih Sikit..

Alhamdulillah, bila usia kandungan dah menginjak ke trimester kedua biasanya morning sickness yang anda alami semakin OK. Bila morning sickness berkurang, selera pula bertambah! Time ni memang berselera makan, nak makan apa sebut saja sudah tentu En. Suami tolong belikan.

Alasan paling popular, mengidam! Sedar tak sedar berat badan bertambah berkilo-kilo sampai terkezzzut nurse dekat Klinik Kesihatan. Hehe..

Pernah tak anda terfikir kenapa sebenarnya selera makan anda bertambah-tambah?

Yelah, memang baby dalam perut semakin membesar dan perlukan lebih kalori untuk menampung keperluan anda dan si comel dalam perut tu.

Tapi takkanlah tak kenyang-kenyang kan? Asyik mengunyah saja kerjanya. Si suami pula, asal mintak jer nak makan apa semua dibelikan tanpa banyak soal. Hai, heaven betul jadi ibu mengandung macam ni kan.

Baguslah anda berselera makan, tapi janganlah kerana mengidam, semua jenis makanan anda telan. Kejap makan burger, fries lepas tu makan jeruk pula. Ish, tak elok tu.

Penting untuk anda memilih makanan yang terbaik untuk anda dan bayi supaya anda mendapat nutrisi yang secukupnya dan tidak mengalami penambahan berat badan yang melampau. Bukan senang nak turun balik lepas bersalin nanti.

 

Dalam artikel kali ini biar saya jelaskan apa sebenarnya yang menyebabkan perut anda sering berkeroncong. Kata pakar, ibu mengandung ni biasanya berselera makan mulai minggu ke-17 kehamilan. Antara penyebabnya adalah:

  1. Fetus di dalam rahim anda semakin membesar dan seiring dengan perkembangannya, keperluan nutrisi si kecil anda turut meningkat. Tapi, bukan bermakna ibu hamil nak kena makan untuk dua orang, tak betul persepsi tu. Harus anda ingat si kecil dalam rahim anda tu memang betul-betul kecil dan keperluannya jauh dari menyamai kanak-kanak apatah lagi orang dewasa. Sebaiknya, makan apabila lapar tapi pastikan jumlahnya memadai, makan secara kerap dengan pilihan kudapan yang sihat sebagaimana yang akan saya kongsikan nanti.
  2. Bukan keperluan bayi dalam perut anda sahaja yang bertambah apabila usia kandungan meningkat, sebenarnya anda juga perlukan tambahan kalori untuk diri sendiri. Maklum sajalah, ketika hamil tubuh anda menghasilkan lebih banyak darah, degupan jantung bertambah, kadar metabolisme meningkat, dan memerlukan tenaga ekstra sepanjang masa apatah lagi apabila perut semakin memboyot. Selama 9 bulan 10 hari tubuh anda perlukan lebih nutrisi dan air untuk memastikan anda dan bayi sihat secara optimum.
  3. Sebagaimana perubahan lain yang anda alami ketika hamil, rasa lapar juga sebenarnya berkait dengan perubahan hormon akibat kehamilan. So, bukan salah anda kerana sering berasa lapar (Ayat sedapkan hati.. Hehe). Kehamilan menyebabkan hormon progesteron meningkat dan ini mempengaruhi dua lagi hormon dalam badan iaitu hormon leptin yang berfungsi mengeluarkan signal rasa kenyang, dan hormon ghrelin yang memberi stimulasi rasa lapar. Namun apabila hamil, tubuh anda tidak begitu responsif terhadap signal dari hormon leptin yang memberitahu anda sudah kenyang. Menurut buku “Nutrition in the Childbearing Years” hormon ghrelin pula bertambah sehingga ke pertengahan trimester kedua dan mula menunjukkan penurunan apabila menghampiri trimester ketiga. Jadi tidak hairanlah anda sering berasa lapar paling kritikal sewaktu dalam trimester kedua, dan biasanya bila semakin menghampiri tarikh bersalin, anda sudah tak boleh nak makan banyak-banyak sebab perut mudah terasa full.
  4. Satu lagi penyebab ialah peningkatan proses penghasilan susu badan untuk persediaan bayi menyusu sesudah lahir kelak. Sejak dari awal kehamilan payudara anda sudah mula menunjukkan perubahan, dan dari minggu ke minggu payudara semakin membesar dan mula melakukan proses penghasilan susu secara berperingkat, jadi tidak hairanlah anda berasa lapar ketika mengandung. Bila baby menyusu badan nanti, anda akan kerap lapar dan haus juga.

 

Biar apapun penyebabnya, pastikan anda sentiasa mendapatkan nutrisi yang sihat untuk perkembangan bayi comel dalam kandungan anda. Janganlah sesuka-hati turutkan selera ibu mengandung dengan alasan ‘mengidam’ itu dan ini. Pastikan anda makan makanan yang berkhasiat saja ya.