Dilema Ibu Menyusu: Alamak! Baby Kenyang Ke Tak Ni?

Wahai ibu-ibu, ketahuilah bahawa semua ibu boleh menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayi mereka, walaupun terdapat segelintir kecil wanita yang tidak mempunyai susu yang cukup, tetapi hal ini adalah sangat luar biasa, dan sering dikaitkan dengan masalah perubatan.

Secara fisiologinya, wanita mempunyai sepasang buah dada, tujuannya agar mereka dapat menyusukan bayi kembar serentak pada satu-satu masa. Walaubagaimanapun, oleh kerana tiada cara saintifik yang boleh mengukur jumlah pengambilan susu ibu, ibu-ibu yang prihatin tentu tertanya-tanya adakah si kecil mereka mendapat susu yang mencukupi.

Biasanya, susu badan mula keluar selepas 2-5 hari bayi dilahirkan. Dalam tempoh 24 jam pertama selepas kelahiran, anda akan mengeluarkan 37 ml kolostrum (30 ml bersamaan 1 auns). Bayi akan mendapat 7-14 ml iaitu kira-kira 1/3 hingga 1/2 auns setiap kali anda menyusukan. Pada peringkat ini, anda perlu sering merangsang payudara agar pengeluaran susu ibu berjalan lancar.

Pada hari kedua atau ketiga, payudara anda akan mula terasa ‘berbeza’: ia akan rasa sedikit hangat, lebih penuh dan lebih berat. Anda akan mula menghasilkan susu peralihan pada masa ini iaitu gabungan kolostrum dan susu matang, yang akan kelihatan kekuningan. Jika anda tidak merasa perubahan pada payudara anda dan bayi anda kelihatan lapar selepas setiap penyusuan beritahu doktor atau jururawat untuk tindakan selanjutnya.

Berikut adalah beberapa garis panduan untuk membantu anda menilai pengambilan susu si comel anda:

  1. Bayi anda perlu ‘latch on’ dan menghisap susu secara teratur dan seakan ‘berirama’ selama 10-15 minit pada setiap payudara, bayi mungkin berhenti menghisap sekejap-sekejap tetapi dia mestilah menyusu dengan bersungguh-sungguh pada setiap kali susuan. Si manja anda harus kelihatan puas selepas menyusu, dan sering akan tidur di payudara kedua.

    Jika dia tertidur dan tidak sempat menyusu di payudara kedua, cuba untuk bahagikan masa menyusu untuk kedua-dua belah payudara. Bayi akan mendapat lebih susu jika dia menyusu 5 minit di setiap payudara berbanding menyusu selama 10 minit dari sebelah payudara.  Dengarkan bayi anda menelan susu secara berterusan ketika menyusu.

  2. Bayi yang baru lahir perlu menyusu kira-kira 8 kali dalam masa 24 jam. Seeloknya, susukan bayi anda setiap 1 ½ – 3 jam pada siang hari, dan setiap 4 jam pada waktu malam. Jangan tunggu sehingga bayi anda bangun untuk menyusu, sebaliknya, anda perlu mengejutkan si comel anda setiap kali tiba waktu penyusuan.

    Bayi baru lahir akan lebih cenderung untuk tidur berbanding menyusu. Jangan culas ya ibu-ibu, kejutkan bayi anda, kalau tidak dia mungkin tidak mendapat susu yang secukupnya menyebabkan timbangan tidak bertambah, dan lebih teruk lagi, bayi anda lebih berisiko tinggi terkena jaundis.

  3. Bandingkan ‘berat’ payudara anda sebelum dan selepas penyusuan. Selalunya, payudara terasa lebih berat sebelum menyusu dan akan menjadi lebih lembut selepas penyusuan. Itu tandanya, bayi anda menghisap dengan betul, dan dengan kekerapan yang sepatutnya, bayi anda seharusnya mendapat susu yang secukupnya.
  4. Perhatikan kekerapan bayi anda buang air kecil dan besar. Selain berat badan, ini antara petunjuk terbaik untuk mengetahui adakah bayi anda mendapat susu yang secukupnya atau tidak. Untuk beberapa hari pertama selepas kelahiran, bayi anda akan mengeluarkan najis berwarna hitam iaitu meconium. Ini adalah najis yang tersimpan sejak dari dalam kandungan.

    Dalam masa satu atau dua hari selepas mula menyusu, najisnya akan bertukar warna dan semakin konsisten. Dalam tempoh peralihan ini, najis mungkin berwarna keperangan atau kehijauan. Apabila bayi anda sudah berusia 4 atau 5 hari, dia akan mula mengeluarkan ‘najis susu’ berwarna kekuningan dan berbiji banyak, kelihatan seperti campuran mustard dan keju lembut. Bayi anda perlu membuang air besar antara 2-5 kali setiap hari sepanjang minggu pertama kelahirannya. Jika tidak, bayi anda mungkin tidak mendapat susu yang mencukupi.

  5. Begitu juga dengan kekerapan membuang air kecil. Semasa beberapa hari pertama kehidupan bayi anda, dia mungkin akan basah hanya sekali atau dua kali sehari, kerana dia hanya menerima sejumlah kecil kolostrum. Selepas susu badan mulai ada, bayi anda sepatut kencing 6-8 kali dalam masa 24 jam.

    Agak sukar untuk mengetahui berapa kali bayi anda kencing kerana serapan dari lampin pakai buang. Perhatikan warna air kencing bayi anda, ia hendaklah pucat, tidak berwarna, dan berbau ringan. Jika ia berwarna gelap dan air kencing pekat mungkin bermakna bahawa bayi tidak mendapat susu yang mencukupi.

  6. Sekiranya anda mengalami ‘bengkak susu’ ia mungkin petanda bayi anda tidak latch on atau melekap dengan betul sewaktu penyusuan, sekaligus bermakna bayi anda tidak mendapat susu yang secukupnya. Dapatkan nasihat pakar laktasi untuk membantu anda memperbetulkan cara penyusuan agar kesakitan ‘bengkak susu’ dapat dikurangkan dan bayi anda mendapat susu yang cukup untuk tumbesarannya.
  7. Cara paling efektif untuk memastikan bayi anda mendapat susu yang cukup ialah dengan memeriksa berat badan bayi anda secara kerap. Anda perlu tahu bahawa ia adalah perkara biasa sekiranya bayi kehilangan 5-7% daripada berat badan dalam beberapa hari pertama. Kebanyakan bayi akan mendapat kembali berat lahir mereka dalam tempoh 2 minggu, sekiranya penyusuan berjalan lancar.

Semoga perkongsian kali ini dapat membantu ibu-ibu dalam memastikan bayi comel anda mendapat susu yang secukupnya. Jaga pemakanan ya agar bayi anda tidak kembung atau mengalami kolik. Pastikan anda makan makanan yang berkhasiat agar badan anda bukan sahaja dapat menghasilkan susu untuk bayi kesayangan anda, tetapi juga membantu pemulihan badan anda ketika dalam pantang.