Baru Hamil 6 Bulan Kaki Dah Sembab.. Normal Ke?

Umum mengetahui ibu hamil sering mengalami kaki sembab terutamanya dalam trimester ketiga kehamilan. Tapi bagaimana pula kes-nya kalau baru menginjak ke trimester kedua.. Kaki dah mula sembab.. Normal ke?

Bagi menjawab persoalan ibu-ibu hamil di luar sana, kali ni topik artikel Danita Maternity berkenaan dengan sembab atau dalam “medical term”nya edema. Jom baca apa sebenarnya edema dan bila ibu-ibu hami perlu risau bila kaki mulai sembab.

 

Sebenarnya edema merupakan suatu symptom yang normal dalam kehamilan kerana badan menyimpan lebih banyak cecair dari biasa, juga akibat tekanan uterus terhadap saluran darah di pelvis apabila kandungan membesar.

Tapi harus diingat kadang-kala edema juga disebabkan masalah yang lebih serius. Jadi bagaimana nak kenal pasti adakah edema yang anda alami itu normal atau tidak?

 

Personally, sewaktu hamil sulung, saya sendiri pernah mengalami edema seawal 6 bulan kandungan. Dengan berat badan yang naik berkilo-kilo, kaki pula membengkak sampaikan saiz kasut berubah dari 6 kepada 9, seksa sungguh nak berjalan..

Tapak kaki terasa tegang dan berat, setiap kali melangkah, rasa seperti nak pecah.. Bayangkan ketika itu kandungan baru 6 bulan, dan saya sembab sehingga ke hari melahirkan!

 

Unfortunately, tanpa saya sedari, sembab yang saya alami merupakan petanda “complicated eclampsia” yang saya hadapi ketika bersalin. Sungguh mengejutkan, tekanan darah sepanjang kehamilan completely normal, sehinggalah ke hari mendaftarkan diri di wad bersalin, tiba-tiba BP mencanak lebih 150! Alhamdulillah, usia masih panjang.

Ngeri sungguh kenangan terpaksa melalui dua kali sakit bersalin normal dan sakit dibedah sekaligus! Klimaksnya, akibat tekana darah tak terkawal, saya sawan sebaik selesai pembedahan dan terpaksa bermalam di wad ICU dikelilingi pesakit yang kritikal semuanya.

 

Nauzubillah, saya doakan ibu-ibu sekalian di jauhkan dari pengalaman sedemikian rupa, saya juga tak mahu pengalaman sama berulang.

Meskipun tidak selesa, malangnya, edema semasa hamil adalah perkara biasa, terutamanya dalam trimester ketiga. Di antara 50 dan 80 peratus wanita hamil yang sihat akan mengalaminya. Cuaca panas seperti di negara kita juga memburukkan lagi keadaan ini. 

 

Jadi, untuk lebih berhati-hati, apakah tanda-tanda edema yang tidak normal yang perlu anda perhatikan agar terhidar dari pengalaman ngeri seperti yang pernah saya alami?

1 – Edema yang diiringi dengan symptom seperti bengkak kaki yang tidak sekata antara kedua-dua belah dan rasa sakit mungkin disebabkan darah tersumbat atau blood clot.

2 – Edema yang diiringi sakit kepala yang berlarutan, mata berpinar-pinar seperti nampak bintang, pandangan kabur atau sensitive terhadap cahaya mungkin petanda masalah tekanan darah tinggi.

4 – Edema yang diiringi kesukaran bernafas atau sesak dada mungkin menunjukkan anda ada masalah jantung.

 

Jadi perhatikan ya ibu-ibu, jika anda mengalami mana-mana symptom di atas, segeralah berjumpa doctor dan jangan berlengan-lengah.

 

Antara tips untuk mengurangkan sembab pada kaki adalah:

 

  1. Naikkan kaki bila-bila anda boleh, untuk membantu melancarkan peredaran darah. Jika di tempat kerja, letakkan bangku kecil atau kotak di bawah meja anda. Di rumah pula, cubalah baring mengiring ke kiri, kerana ini boleh mengurangkan tekanan pada vena kava bawah. Ketika tidur, pastikan anda tinggikan kedudukan kaki dengan bantal.
  2. Elakkan duduk atau berdiri terlalu lama tanpa berehat. Dan jangan cuba menyilang kaki semasa duduk.
  3. Bersenam selalu, banyakkan berjalan dan berenang. Pastikan diri sentiasa aktif, namun harus sentiasa berpada-pada ya.
  4. Jika anda membuat perjalanan jauh, berhentilah dengan kerap untuk meregangkan kaki.
  5. Jika kulit anda tidak terlalu tegang dan sakit, anda boleh minta seseorang untuk mengurut buku lali dan tapak kaki anda, hingga ke lutut. Ini boleh membantu mengalihkan cecair keluar daripada tapak kaki.
  6. Jaga pemakanan ya ibu-ibu, jangan terlalu turutkan selera ibu hamil yang bermacam-macam tu. Pastikan anda utamakan pilihan makanan yang berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi.

 

Edema merupakan sebahagian dari dugaan ibu hamil. Jangan stress-stress ya. Pastikan anda mendapat sokongan dan bantuan  terutamanya dari suami dan ahli keluarga terdekat untuk mengurangkan rasa tidak selesa.

Sabar sikit jer lagi ibu-ibu, InsyaAllah selepas dah selamat bersalin nanti, semua rasa yang tak best tu akan berlalu pergi. Ingatlah, setiap ketidakselesaan dan kesakitan yang kita alami sewaktu hamil, amat besar ganjarannya di sisi Allah. Jadi, redha dan bersabarlah..