9 Sebab Kenapa Anda Mungkin Akan Bersalin Secara Pembedahan

Salam ibu-ibu sekalian. Hari ni Kak Danita nak share tentang 9 sebab kenapa anda mungkin akan bersalin secara pembedahan. Nauzubillah, seboleh-bolehnya kita semua nak bersalin secara normal kan? Tapi kadang-kala perancangan Allah lebih baik dan kita tak dapat mengelak dari risiko bersalin secara pembedahan.

Bergantung kepada situasi, kadang-kadang, bersalin secara pembedahan lebih selamat untuk anda dan bayi anda berbanding bersalin secara normal. Tak percaya? Jom kita tambah pengetahuan dan ketahui 9 situasi di mana doctor biasanya akan nasihatkan anda bersalin secara caesarean section:

  • Bukaan rahim tak cukup 10cm. Walaupun anda telah mengalami kontraksi yang kuat untuk beberapa jam, bukaan rahim anda masih belum mencapai 10cm. Atau, mungkin juga ia disebabkan kepala bayi anda terlalu besar dan tidak dapat melalui ‘birth canal’ anda.
  • Bayi lemas. Sekiranya doctor khuatir bayi anda mungkin lemas atau tidak mendapat oksigen yang mencukupi, atau terdapat perubahan negative pada bacaan CTG (denyutan jantung) bayi anda, kelahiran secara pembedahan mungkin jalan terbaik.
  • Bayi songsang. Pembedahan mungkin cara paling selamat untuk mengeluarkan bayi anda sekiranya dia berada pada kedudukan abnormal contohnya songsang (breech) atau melintang (transverse). Sekiranya kandungan anda kembar, ada kemungkinan mereka tidak berada pada kedudukan normal.
  • Hamil kembar. Bukan sahaja kandungan kembar mungkin berkedudukan abnormal, pembedahan mungkin perlu dilakukan sekiranya bayi kembar anda perlu dilahirkan tidak cukup bulan atau mengalami masalah lain.
  • Masalah pada placenta (uri). Sekiranya anda mengalami masalah placenta previa di mana uri menutupi pintu rahim, pembedahan merupakan cara paling selamat untuk melahirkan bayi anda.
  • Masalah pada tali pusat bayi. Seandainya tali pusat telah terkeluar terlebih dahulu sebelum bayi anda, pembedahan kecemasan hendaklah segera dilakukan untuk menyelamatkan bayi anda.
  • Masalah kesihatan anda. Kelahiran secara pembedahan mungkin dilakukan sekiranya anda mengalami masalah kesihatan seperti penyakit jantung, darah tinggi yang memerlukan bayi dilahirkan dengan segera, bayi terlalu besar akibat penyakit diabetes, atau jangkitan kuman yang mungkin berlaku terhadap bayi anda sekiranya dilahirkan secara normal (cth: penyakit HIV atau genital herpes)
  • Anda mungkin memerlukan pembedahan c-section sekiranya anda mempunyai masalah fibroid yang menghalang laluan kelahiran, atau keretakan pelvic yang teruk, atau mungkin juga bayi anda menghadapi hydrocephalus iaitu keadaan di mana bayi anda mempunyai saiz kepala yang tidak normal.
  • Sejarah kelahiran secara pembedahan. Bergantung kepada sejarah kelahiran dan faktor-faktor lain, anda mungkin boleh melahirkan bayi secara normal, namun jika keadaan tidak mengizinkan, doctor mungkin menasihati anda supaya bersalin secara pembedahan.

Terdapat juga ibu-ibu yang memilih untuk melahirkan bayi pertama secara pembedahan. Tujuannya untuk mengelakkan sakit kontraksi, komplikasi kelahiran atau mungkin juga mengambil peluang untuk merancang kelahiran. Sebenarnya, ini tidaklah digalakkan especially jika anda inginkan anak yang ramai. Wanita yang melalui pembedahan berulang-kali sebenarnya berisiko menghadapi masalah placenta (uri) seperti tumpah darah yang mungkin mengakibatkan uri terpaksa dibuang. Apa jua keputusan anda, berbincanglah dengan pakar yang bertauliah agar anda dapat membuat keputusan terbaik untuk anda dan bayi.