5 Tips Pemakanan Untuk Pemulihan Selepas Bersalin

Alhamdulillah, si comel yang dinanti-nanti sudah selamat dilahirkan. Congrates ya! Tentu ibu-ibu rasa lega sebab satu lagi fasa dah selesai iaitu fasa bersalin. Sekarang dah masuk ke fasa baru pula, berpantang.

Kalau nak diikutkan, banyak perkara yang perlu diambil perhatian ketika dalam pantang ni. Ini termasuklah penjagaan fizikal, emosi dan mental ibu, diet dan pemakanan sihat untuk pemulihan, penjagaan dan kesihatan bayi baru lahir dan macam-macam lagi. Dalam artikel kali ini saya nak sentuh tentang diet dan pemakanan ibu-ibu semasa berpantang.

Ok, kita semua sedia maklum betapa proses bersalin itu mengerah tenaga yang sangat banyak dari ibu-ibu. Luka perineum atau luka cesarean hanyalah kecederaan luaran yang boleh dilihat. Itupun dah cukup menggerunkan. Luka dalaman? Urat-urat putus atau cedera? Sukar nak dibayangkan.

Salah satu perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk diri sendiri setelah berhempas-pulas melahirkan ialah membekalkan tubuh badan anda dengan makanan sihat dan berzat. Tubuh anda telah melalui perubahan fizikal yang ketara, malah perubahan tersebut masih lagi berterusan dalam tempoh ini.

Fikiran mungkin terasa tepu dan letih lesu, begitu juga emosi yang mungkin agak bercampur-baur beberapa hari pertama selepas kelahiran. Ketika ini, penting untuk anda kembalikan energi dengan makanan yang mudah, cepat dan mengandungi khasiat penting untuk tubuh, terutamanya yang bersifat antioksidan.

Memandangkan anda telah kehilangan banyak darah, anda seharusnya meningkatkan pengambilan makanan kaya dengan zat besi untuk pembentukan sel darah merah. Dapatkan juga makanan yang berserat tinggi dan bersifat antioksidan yang kaya dengan vitamin dan mineral serta makanan yang boleh mengembalikan tenaga dan memulihkan fungsi tubuh sebagaimana berikut:

 

1. IKAN SEBAGAI SUMBER PROTEIN UTAMA

Sumber protein yang paling baik adalah daripada ikan. Antara pilihan ikan yang bagus untuk ibu berpantang adalah ikan salmon, ikan merah, ikan haruan, ikan gelama, ikan selar dan ikan yu. Ikan-ikan ini kaya dengan asid amino, omega-3, vitamin, mineral seperti zink, zat besi yang penting untuk penyembuhan luka dalaman.

Penting untuk ibu-ibu mengelak dari memakan ikan yang berbisa seperti ikan tongkol, ikan pari, ikan keli, ikan cencaru dan lain-lain yang berpotensi menyebabkan turun darah dan bentan. Boleh juga dapatkan protein daripada ayam, daging dan daging kambing untuk mempelbagaikan menu harian anda. Pilih cara masakan yang sihat seperti bakar, rebus dan kukus.

 

2. ULAM-ULAMAN & SAYUR-SAYURAN

Sayuran hijau dan ulam-ulaman membekalkan anda dengan fiber atau serat, mineral dan pelbagai vitamin termasuklah A, C dan E dan bersifat antioksidan. Pilih ulam seperti daun pegaga, ulam raja dan daun mengkudu untuk menyegarkan badan, mengecutkan peranakan, mempercepatkan penyembuhan luka, memperbanyakkan susu ibu dan melancarkan peredaran darah.

Sayuran hijau seperti peria, brokoli dan sawi bukan saja berkhasiat malah sangat bagus untuk mengelakkan sembelit, lobak putih pula membantu meningkatkan penghasilan susu ibu. Elakkan dari mengambil sayuran menjalar, sejuk dan berangin seperti kangkung, terung, kubis dan kacang panjang agar tidak bisa-bisa badan.

 

3. BUAH-BUAHAN

Buah-buahan yang boleh diambil antaranya adalah anggur, kurma, oren, epal merah, strawberi, peach, prune, kismis, longan cina dan blueberry. Buah-buahan ini kaya dengan antioksidan, vitamin C dan E, dan mineral untuk penyembuhan luka. Ia juga kaya dengan fiber yang baik untuk pelawasan. Buah-buahan selain dari yang disebutkan tadi tidak digalakkan pengambilannya ketika berpantang kerana dikhuatiri . bersifat sejuk dan boleh menyebabkan sakit-sakit tulang, otot dan lemah sendi.

 

4. MINUM AIR YANG CUKUP

Minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk mengelakkan dehidrasi. Pernah dengar larangan minum air yang banyak ketika dalam pantang? Abaikan mitos itu! Sebenarnya, air sangat penting untuk keperluan tubuh kita apatah lagi selepas bersalin.

  • Air penting untuk kelancaran pengeluaran toksin dari badan untuk pemulihan yang lebih cepat.
  • Air juga merupakan antara komponen utama darah, jika kita tidak minum air yang cukup badan akan cepat merasa letih. Ditambah pula dengan pengeluaran darah nifas.
  • Air penting untuk serapan nutrisi ke seluruh badan. Penyerapan nutrisi yang berkesan membantu badan mendapat zat yang diperlukan ketika dalam proses pemulihan.
  • Air penting untuk proses penyahtinjaan. Sembelit merupakan perkara yang sangat digeruni wanita bersalin. Air sangat penting untuk mengelakkan sembelit dan melawaskan pembuangan najis.
  • Air penting untuk penghasilan susu ibu. Bayi menyusu dengan kerap, jadi pengeluaran susu ibu bertambah. Ibu menyusu sebenarnya sering kehausan, jadi minumlah air secukupnya jangan sampai dehidrasi. Untuk menjayakan penyusuan ketika dalam pantang dan meneruskannya selepas itu anda mesti minum air secukupnya.

Sebenarnya anda tidak semestinya minum air suam atau air kosong semata-mata. Boleh juga minum jus pegaga, jus buah-buahan segar (pilih buah-buahan yang boleh dimakan ketika berpantang), bancuhan air pati delima dan madu, susu rendah lemak, minum air rebusan manjakani dan sebagainya.

Jika ada masalah sembelit, boleh amalkan meminum jus prune, manakala jus oren pula kaya dengan vitamin C dan antioksidan untuk mempercepatkan penyembuhan luka bersalin secara pembedahan. Tapi jangan minum air sejuk atau yang berais pula! Namun jika minum minuman berherba atau air akar kayu pastikan bayi sudah berusia 2 minggu ke atas, kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan jaundice.

 

5. PEMAKANAN HERBA

Herba untuk pemulihan dalaman ibu bersalin. Terdapat pelbagai herba yang digunakan secara tradisional untuk merawat fisiologi wanita terutamanya sesudah melahirkan. Antara yang terkenal adalah kacip fatimah, manjakani dan akar serapat.

Herba-herba ini bukan sahaja digunakan secara turun temurun sejak zaman nenek moyang kita, tetapi seiring dengan peredaran zaman, kajian saintifik turut membuktikan herba-herba ini sebenarnya kaya denagn antioksidan seperti flavonoid, anthocyanin, vitamin C dan bahan aktif seperti tannins dan gallic acid yang keberkesanan dalam:

  • Menjaga kesihatan organ intim wanita dan mencegah dari kanser serviks dan payudara
  • Membantu merawat masalah intim wanita seperti keputihan dan bau yang kurang menyenangkan
  • Membantu menegangkan otot-otot faraj dan menguatkan otot pelvik
  • Membantu menstabilkan hormon, melancarkan peredaran darah dan memulihkan kitaran haid
  • Mengelakkan sembelit terutamanya bagi ibu selepas bersalin
  • Mencegah rahim atau peranakan jatuh
  • Merawat kecederaan dan mengecutkan rahim/faraj selepas bersalin atau keguguran
  • Mengembalikan tenaga dan sistem imun terutamanya selepas bersalin

Harap-harap artikel kali ini dapat membantu ibu-ibu menjalani proses berpantang dengan jayanya. Semoga be’rmanfaat dan selamat berpantang!

/’/

Kredit Imej : Mamapeduli.info