5 Tips Menangani Morning Sickness

Sebagai sambungan artikel baru-baru ini iaitu 5 Penyebab Morning Sickness, kali ini saya kongsikan pula tips bagi menanganinya. Mahu tidak mahu, majoriti ibu hamil terutamanya yang hamil buat kali pertama terpaksa melalui fasa ini. Alahai kesiannya.. Bertenang ya, jangan stress-stress tau. Insya Allah sementara jer. Jom kita lihat 5 tips menangani morning sickness.

 

(1) JANGAN BIARKAN PERUT KOSONG

Yup, perut kosong boleh membuatkan morning sickness anda lebih teruk. Jadi pastikan anda ambil sarapan dan makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap (6-8 kali sehari), jangan tunggu sehingga perut berkeroncong ya, tak senang duduk anda dibuatnya nanti.

Sediakan makanan mudah dibawa dalam handbag anda seperti biskut, roti, kek, coklat atau apa saja makanan yang boleh anda kunyah. Janji boleh mengawal rasa loya yang anda alami dan mengalas perut anda.

Jika anda berselera terhadap satu-satu jenis menu, makan saja, walaupun anda terpaksa makan benda yang sama berkali-kali. Contohnya, tekak hanya boleh terima yang manis-manis? Jika begitu, anda boleh dapatkan vitamin dari buah-buahan dan protein dari yogurt jika tak boleh makan sayur dan ayam buat masa ini.

Tak perlu terlalu memikirkan nutrisi yang diperlukan bayi anda kerana keperluan mereka masih terlalu kecil dan sudah mencukupi dari tubuh anda.

Minum air secukupnya, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk elakkan dehidrasi terutamanya jika anda kerap muntah.

 

(2) VITAMIN PRENATAL – SATU KEMESTIAN

Pastikan anda makan vitamin prenatal yang dibekalkan doktor untuk melengkapkan nutrisi yang diperlukan tubuh anda. Untuk 3 bulan pertama, Asid Folik sangat penting untuk perkembangan bayi anda.

Jika ada sesetengah vitamin yang perlu diambil ketika perut kosong dan boleh menyebabkan anda rasa mual, bincang dengan doktor anda bila waktu yang lebih sesuai untuk mengambil vitamin berkenaan.

 

(3) DAPATKAN REHAT YANG CUKUP

Morning sickness mungkin meletihkan, jadi pastikan anda rehat secukupnya.

Pada masa yang sama, keletihan juga boleh memburukkan morning sickness, jadi mesti rehat ya. Bila bangun pagi tu, tak perlu terburu-buru. Ambil masa dan tenang saja ya.

 

(4) PETUA UNTUK MELEGAKAN MORNING SICKNESS

Halia, ramuan yang sering kita gunakan di dapur telah terbukti secara saintifik boleh membantu mengurangkan rasa mual atau loya di kalangan ibu hamil. Caranya, amalkan meminum atau makan makanan yang mengandungi halia seperti teh halia, gula-gula halia, biskut halia dan sebagainya. Gunakan halia apabila anda memasak (sup lobak merah halia, ayam masak halia, mufin halia dan lain-lain). Hirisan halia mempunyai aroma tersendiri, cubalah hidu, ia boleh mengurangkan rasa loya yag anda alami.

Lemon, limau nipis, limau purut atau oren juga mempunyai aroma yang menyegarkan dan kebanyakan ibu hamil mendapati bau segar buahan lemon ini membantu melegakan simptom morning sickness. Perahkan lemon dalam teh, atau buat minuman lemonade, atau hiris lemon dan hidu baunya, insyaAllah anda akan rasa lebih lega.

 

(5) ELAKKAN MAKANAN @ BAUAN YANG MELOYAKAN ANDA

Elakkan dari melihat, menghidu atau memikirkan makanan yang boleh membuatkan anda loya.

Makanan yang pedas seperti sambal tumis, yang berlemak seperti masak lemak cili api dan yang kuat aromanya seperti kari patut anda elakkan buat masa ini jika perlu.

Anda mungkin perlu mengenal pasti yang mana satu makanan yang boleh dan tidak boleh diterima tekak anda dalam tempoh morning sickness bermaharajalela ni. Dan identify nanti, pandai-pandai lah elakkan ya.

 

Begitulah 5 tips yang saya simpulkan hasil dari rujukan pelbagai sumber termasuklah dari perkongsian ibu-ibu hamil yang lain. Harap-harap dapat membantu ibu-ibu sedikit sebanyak. Namun, perlukah ibu-ibu risau jika mengalami morning sickness yang teruk? Asal makan saja, mesti keluar balik.. Badan dah tak bermaya.

 

Nak bangun pun tak larat, tambah pula pening berpusing-pusing sampai tak boleh nak buka mata. Ya, ada yang mengalami morning sickness berlarutan sampai ke trimester akhir kehamilan. Adakah morning sickness boleh membahayakan? Nantikan kupasan saya dalam artikel seterusnya ya.