5 Penyebab Morning Sickness.. Ibu Muda Mesti Tak Tahu

5 PENYEBAB MORNING SICKNESS

Morning sickness atau alahan ketika mengandung merupakan salah satu episod kehamilan yang tak dapat dielakkan lebih 50% ibu mengandung.

Namanya sahaja morning sickness, tapi rata-rata ibu mengandung bukan sahaja mengalaminya di waktu pagi, sebaliknya ada yang loya, muntah, pening, tak boleh bau itu ini, lemah tak bermaya hingga ke malam hari.

Pengalaman morning sickness mungkin berbeza pada kehamilan yang seterusnya, ada juga yang kata ia berbeza mengikut jantina bayi yang dikandung.

Bukankah setiap dari kita Allah tentukan fitrah tersendiri, tentu saja pengalaman setiap kali hamil adalah unik, sukar digambarkan dan tak dapat dilupakan.

Alhamdulillah, biarpun perit bersyukurlah kerana anda diberi peluang melalui proses yang didambakan ramai wanita yang mungkin belum sampai rezekinya untuk hamil seperti anda.

Jom, kali ni kita fahami 5 penyebab kenapa morning sickness berlaku kepada majoriti ibu hamil berdasarkan kajian oleh pelbagai sumber dan pendapat pakar.

1) Sensitiviti 

Sesetengah dari kita, sel otaknya memberi tindak-balas yang lebih sensitif terhadap sebarang perubahan hormon yang berlaku dalam badan.

Contohnya, ketika hamil berlaku perubahan yang ketara melibatkan hormon Human chorionic gonadotropin (hCG), estrogen dan progestrone 

~ Hormon hCG meningkat dengan cepat di awal kehamilan. Ketika hormon hCG meningkat dengan banyak, ketika itu jugalah ibu-ibu mengalami alahan yang ketara. Terutamanya di kalangan ibu hamil kembar, mereka lebih cenderung mengalami alahan teruk akibat hormon hCG yang tinggi.

~ Hormon estrogen mungkin meningkat sehingga 100 kali ganda ketika hamil, pakar berpendapat ia mungkin mempengaruhi tahap alahan ibu hamil. Namun, apabila dibandingkan antara ibu hamil yang mengalami alahan dan tidak alahan, tiada bukti sahih yang menunjukkan perbezaan antara paras hormon estrogen. Jadi, kesan peningkatan hormon ini mungkin berbeza mengikut individu.

~ Hormon progestron juga meningkat apabila seorang wanita hamil. Paras progesteron yang tinggi mengurangkan regangan otot-otot rahim, menjadikannya lebih ‘relaks’ lantas mengelakkan dari berlakunya kelahiran awal. Walaubagaimanapun, ia juga mungkin membuatkan otot-otot perut dan usus menjadi terlalu ‘relaks’ sehingga mengakibatkan masalah refluks asid perut kepada sesetengah ibu hamil.

2) Stress 

Mungkin ini kehamilan pertama anda atau anda pernah mengalami keguguran sebelum ini yang menebabkab anda terlalu berhati-hati atau terlalu mengawasi setiap gerak-geri anda sehingga menyebabkan diri anda tertekan!

Ada pakar berpendapat bahawa, stress atau tekanan perasaan bukan sahaja menyebabkan sesetengah ibu hamil terdedah kepada alahan atau morning sickness, tetapi juga mengakibatkan keletihan, rasa tidak tenteram, tak selera makan atau terlalu berselera makan, pening kepala dan tidur yang terganggu.

Memang diketahui umum bahawa stress memberi kesan negatif terhadap masalah usus, jadi tidak hairanlah jika simptom morning sickness lebih teruk ketika ibu hamil tertekan. 

3) Sensitif terhadap bau-bauan 

Bagi sesetengah ibu hamil, anda mungkin mengalami lebih sensitiviti terhadap bau, menyebabkan hidung sentiasa mengesan bau-bauan yang dirasakan terlalu kuat  di persekitaran anda sehingga mnyebabkan loya, muntah, pening dan sebagainya.

Bau yang biasanya sedap dikatakan busuk, dan sebaliknya. Bau makanan seperti nasi, bawang, kari, juga wangian seperti perfume malah bau badan suami mungkin saja boleh membuatkan anda loya. Sabarlah, In Sha Allah semua ini tak lama, dah masuk trimester kedua nanti OK lah hendaknya.

4) Kehamilan pertama

Menurut kajian, morning sickness dikatakan lebih teruk dikalangan ibu-ibu pertama kali hamil. Pakar berpendapat, faktor fizikal dan emosi turut mempengaruhi keadaan ini.

Secara fizikal, badan seorang ibu yang hamil buat pertama kali mungkin masih belum bersedia menghadapi pelbagai perubahan melibatkan hormon, bentuk badan dan sebagainya.

Dari sudut emosi pula, kebanyakan ibu-ibu muda ini lebih mudah terganggu emosinya dengan rasa bimbang, takut, terlalu berjaga-jaga sehingga menyebabkan tekanan dan mengganggu sistem gastrousus.

Bagi ibu-ibu yang sudah ada pengalaman hamil, mereka mungkin tidak terlalu memikirkan morning sickness yang dialami kerana fokus sudah teralih kepada anak-anak yang lebih memerlukan perhatian.

Namun, perkara ini tidak semestinya benar, ada sahaja ibu yang hamil buat kesekian kalinya masih juga mengalami morning sickness yang teruk. Siapa tahu? Setiap kehamilan sangat unik dan berlainan pengalamannya bukan.

5) Genetik

Mudah saja, jika ibu anda mengalami morning sickness ketika mengandungkan anda dan adik-beradik lain, kebarangkalian anda turut mengalami morning sickness juga tinggi. Jadi, meskipun perit, nikmati saja journey anda menjadi ibu kerana anda sememangnya beruntung!

Sekarang dah tahu kenapa anda mengalami morning sickness kan? Perlu anda fahami 5 penyebab yang saya senaikan di atas tidak semestinya berlaku kepada semua ibu hamil kerana para penyelidik dan saintis masih tidak dapat mencari punca sebenar morning sickness. 5 faktor di atas merupakan rumusan berdasarkan pengalaman, kajian dan pemerhatian pakar terhadap ibu-ibu hamil. Jadi berlapang dada lah ya.

Untuk artikel seterusnya nanti, saya akan kongsikan pula tips-tips mengatasi morning sickness agar anda lebih selesa melalui pengalaman hamil yang sangat berharga. Nantikan ya!